Teori dan Aqidah

20081205 | | |

Kebanyakan kemunculan teori kaunseling iaitu teori mengenai memahami manusia secara psikologi, menterjemahkan tentang sifat-sifat tabii manusia yang mendorong manusia bertindak, berinteraksi dan berfikir tanpa mengambil kira unsur-unsur spiritual atau kepercayaan agama.

Teori dicipta bagi berusaha mencari jalan penyelesaian dengan membina kemahiran kaunseling bagi membantu dan menolong manusia kearah tingkahlaku yang normal serta membangkitkan kesedaran diri. Melalui teori-teori yang dibina dapat memberi sedikit panduan kepada kita dalam proses membantu kesedaran diri serta proses menolong.

Berpandukan kepada teori kaunseling serta ditambah pula dengan pengalaman - pengalaman yang dilalui ketika proses menolong, maka sedikit sebanyak dapat memperbaiki, memahami serta mempertingkatkan kemahiran proses menolong dari masa kesemasa.

Teori kaunseling yang ada pada hari ini mempunyai berbagai bentuk fahaman berdasar kan kajian dan pengalaman ahli psikologi yang mempelopori teori mereka. Adakalanya teori berlawanan antara satu sama lain, seperti teori psikoanalisa Freud menekankan alam tidak sedar manusia, sementara teori kemanusian atau pemusatan klien Carl Rogers pula menekan kan kepada alam sedar tetapi kelakuan itu diherot-berotkan oleh pengalaman-pengalaman yang dilalui. Ramai juga ahli psikologi menolak teori psikoanalisa Freud.Begitu juga dengan teori tingkah laku yang berpendapat bahawa tingkah laku manusia terbentuk melalui pembelajaran "imbuhan dan pengukuhan" yang didasarkan kepada teori pembelajaran pelaziman klasik oleh Ivan Pavlov yang dibuat eksperimen keatas haiwan yang tidak punya akal fikiran, dan teori pelaziman operan B.F. Skinner. Begitu juga dengan teori fahaman yang lain seperti Teori psikologi individu Alfred Adler, Teori perhubungan antara individu Sullivan, Teori Gestalt Friedrich Perls, Terapi rasional emotif (A-B-C)Albert Ellis danTerapi analisa perlakuan Eric Berne


Apabila disebut ilmu jiwa, ianya tidak boleh lari dari spiritual. Sebagai manusia yang diwajibkan bertuhankan kepada Allah, yang kita ini dihidupkan hanya sementara dimuka bumi Allah supaya berbuat taat kepadaNya, sumber utama tentang kejadian manusia serta sifat tabii yang membawa kepada kesejahteraan atau kecelaruan telah diterangkan melalui sumber yang benar iaitu AlQuran. Kesedaran manusia tentang kehidupan ini adalah suatu ujian daripada Allah yang mengwajibkan setiap hamba sabar menempuh segala liku-liku hidup yang merupakan asam garam perlu diutamakan. Oleh itu proses menolong yang utama dan tidak patut diabaikan adalah membantu individu menyedarkan diri yang membawa kearah mentauhidkan Allah, membawa kesedaran diri sebagai sifat kehambaan, membantu menerima realiti sifat kehambaan dan memahami sifat-sifat Ketuhanan. Barang siapa yang mengingati Allah maka dapat ketenanganlah ia, barangsiapa lupakan Allah maka ia akan merasa hidup ini sangat sempit dan mudah berputus asa. Kemanisan hidup riang dan gembira itu berada didalam redha Allah sementara duka nestapa dan kelu kesah itu pula berada didalam keraguan terhadap Allah.

Teori kaunseling tidaklah boleh dijadikan pegangan mutlak atau menjadikan aqidah kerana ia berasas pemikiran manusia semata dan mulhid iaitu tiada bersandar kepada agama, sementara kemahiran kaunseling dan proses menolong adalah jalan usaha yang perlu kita lakukan dan mahirkan. Dalam masa yang sama kita perlu tahu dan sedari bahawa kita tidak boleh mengubah tingkah laku manusia melainkan dengan pertolongan Allah. Sebagai ingatan kepada kita, Rasulullah (saw) bersabda;


لتتبعن سنن الذ ين من قبلكم شبرا بشبر وذراعا بذرع حتي لو دخلوا
في حجر ضب لا تبعتموهم قلنا يا رسول الله اليهود والنصارى؟ قال فمن؟

"Sesungguhnya kamu akan menuruti jejak langkah orang-orang terdahulu yang sesat sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sehingga jika pun mereka masuk kedalam lubang biawak, tentu kamu turut masuk juga kedalamnya", Kami sahabat bertanya " apakah Yahudi dan Nasara ya Rasulullah?" jawab Baginda " Siapa lagi jika tidak mereka berdua".

Dengan berpandukan kepada Hadith diatas, memberi satu panduan kepada kita supaya memelihara tatacara yang menurut kehendak dan disiplin agama yang merupakan sumber utama. Tambahan lagi Sabda Rasulullah (saw);
الدين النصيحه
"Agama itu Nasihat"

Muhibbah Guidance & Counselling